Mahkamah benar permohonan pemindahan kes Muhyiddin ditarik balik - Utusan Malaysia

Mahkamah benar permohonan pemindahan kes Muhyiddin ditarik balik

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan pem­belaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan menarik balik permohonan memindahkan tujuh kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi atas dakwaan menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy membenarkan permohonan itu ditarik balik selepas peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memberitahu pihaknya menghantar surat berhubung permohonan itu kepada pendakwaan pada 5 Julai lalu.

Surat itu menyatakan terdapat tiga permohonan pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi yang mana terdapat asas kukuh bagi permohonan pemindahan.

Namun jelas surat itu, ia tidak dipersetujui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berkeras menentang permohonan berkenaan.

Kata surat itu, terdapat permohonan membatal atau mengetepikan pertuduhan ke­sa­lahan predikat terhadap pe­mohon (Muhyiddin) yang di­tetapkan pendengaran di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Jelas surat itu, permohonan pemindahan kes yang berlangsung semalam menjadi akademik jika permohonan pembatalan pertuduhan dibenarkan.

“Oleh kerana kami berpendapat permohonan pemindahan akan menjadi akademik jika permohonan pembatalan dibenarkan, kami dengan ini menarik balik permohonan pemindahan,” kata surat itu.

Sementara itu Timbalan Pen­dakwa Raya, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Pada 8 Mei lalu, Muhyiddin memohon pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya dibicara di Mahkamah Tinggi atas alasan kes berkenaan membabitkan persoalan undang-undang yang kompleks.

Pada 18 April lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memfailkan notis usul memohon beliau dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Pre­siden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat bagi parti itu.

Prosiding semalam turut dihadiri pasukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib; Noralis Mat; Nor Asma Ahmad, Poh Yih Tinn dan Zan Lim Kai Keong.

Selain Poh Teik, beliau turut dibantu Datuk K. Kumaraendran; Rosli Dahlan; Amer Hamzah, Chetan Jethwani, Kee Wei Loon dan Teh See Khoon; Dev Kumaraendran dan Varsha Chelvi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya