Kerugian ditanggung 1MDB berlaku sebelum Irwan Serigar, Arul Kanda sertai 1MDB - Hujah peguam - Utusan Malaysia

Kerugian ditanggung 1MDB berlaku sebelum Irwan Serigar, Arul Kanda sertai 1MDB – Hujah peguam

ARUL KANDA KANDASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tidak boleh dijadikan ‘kambing hitam’ berikutan kerugian yang ditanggung oleh syarikat terbabit disebabkan oleh pihak lain.

Ini kerana, kerugian yang ditanggung oleh 1MDB berlaku sebelum Mohd. Irwan Serigar dilantik menjadi Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB dan Arul Kanda dilantik menjadi CEO syarikat itu.

Peguam Gobinath Karuppan yang mewakili Arul Kanda menghujahkan, anak guamnya tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah laku kewangan yang berlaku dalam 1MDB.

“Dakwaan bahawa anak guam saya telah melanggar tanggungjawab fidusiari adalah tidak berasas. Siasatan terhadap penyelewengan dana 1MDB adalah bagi transaksi di antara 2010 dan 2014 manakala anak guam saya hanya menyertai 1MDB pada 2015,” hujahnya.

Sementara itu, peguam Lavinia Kumaraedran yang mewakili Mohd. Irwan Serigar adalah tidak wajar 1MDB memfailkan saman dan menuntut ganti rugi daripada anak guamnya tetapi menarik balik saman terhadap beberapa individu yang disifatkan sebagai ‘pelaku asal’ yang terlibat dalam penyelewengan itu.

Kedua-dua peguam terbabit menghujah demikian pada permohonan Mohd. Irwan Serigar dan Arul Kanda untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

Sementara itu, peguam Brendan Siva yang mewakili 1MDB pula berhujah bahawa isu yang dibangkitkan hanya akan dijawab dalam perbicaraan penuh kerana terdapat transaksi yang berlaku ketika kedua-dua defendan berkhidmat dalam syarikat itu.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab 1MDB untuk memastikan semua pihak disoal bagi mendapatkan semula dana yang hilang.

Selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan pada 23 Ogos untuk keputusan permohonan tersebut.

Pada 18 Februari 2022, Mohd. Irwan Serigar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman 1MDB atas alasan antaranya saman itu adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Sementara itu, Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain.

1MDB memfailkan saman terhadap Mohd. Irwan Serigar dan Arul Kanda pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya