Jika tiada penyelesaian, bicara kes saman Tun M dan Ahmad Zahid kekal

Jika tiada penyelesaian, bicara kes saman Tun M dan Ahmad Zahid kekal

AHMAD ZAHID HAMIDI dan DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak-pihak dalam dua kes saman fitnah melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta memaklumkan jika terdapat penyelesaian di luar mahkamah sebelum perbicaraan masing-masing yang ditetapkan pada 11 September serta 6 November ini.

Peguam Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memberitahu wakil media, setakat ini tiada sebarang perkembangan mengenai proses mediasi bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kedua-dua kes saman tersebut.

Sehubungan itu, ujarnya, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini yang dijadualkan didengar di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

“Jika terdapat sebarang perkembangan mengenai penyelesaian, kedua-dua belah pihak diarahkan untuk memaklumkan kepada mahkamah sebelum tarikh perbicaraan,” katanya selepas pengurusan kes saman fitnah itu yang dijalankan melalui aplikasi Zoom hari ini yang turut disertai peguam Mohamad Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali.

Saman fitnah difailkan Dr. Mahathir terhadap Ahmad Zahid berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri bahawa Ahmad Zahid mempersoal asal usulnya, akan didengar pada 11 September ini.

Sementara itu, saman fitnah dikemukakan Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam urusan perbicaraan kes jenayahnya, dijadual didengar pada 6 November.

Ahmad Zahid, 69, memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir, 96, pada 20 April 2022. Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Dr. Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Kata Ahmad Zahid, Dr. Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Kata Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr. Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Dr. Mahathir pada 17 Mei 2022 bagaimanapun menafikan memfitnah Ahmad Zahid dan mendakwa Presiden UMNO itu menemuinya sebanyak lima kali antara tahun 2018 hingga 2020. Dalam pertemuan itu, katanya, Ahmad Zahid menyuarakan kebimbangan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya.

Dr. Mahathir melalui saman difailkannya pula berkata, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Beliau berkata, rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah diterbitkan semula menerusi Youtube Astro AWANI berdurasi dua minit 41 saat. Menurut Dr. Mahathir, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah itu sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah, mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat. Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Katanya, kenyataan itu merendahkan, mencederakan dan mencemarkan reputasi, nama baik, maruah, integriti serta imej baiknya selain bertujun melemahkan pengaruh politiknya secara berterusan sehingga mengalami kerugian besar dan teruk.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos tahun lalu, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi Dr. Mahathir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya