Ismahalil tidak bersalah edar dadah, bilik turut diakses pihak lain - Utusan Malaysia

Ismahalil tidak bersalah edar dadah, bilik turut diakses pihak lain

ISMAHALIL Hamzah keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah, dua tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati bilik tempat dadah ditemukan, turut diakses oleh pihak lain.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berpuas hati dengan keterangan Ismahalil, 50, bahawa bilik di rumah sewa di Jalan Semarak itu boleh diakses oleh kru stesen radio ‘Bapakku FM’, DJ yang bertugas di konti selain para tetamu dan pengurusan kedai.

Jelas beliau, keterangan itu turut disokong oleh keempat-keempat saksi pembelaan lain termasuk isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50.

Pada hemat hakim berkenaan, pegawai penyiasat tidak mengetahui sama ada bilik itu turut digunakan oleh orang lain mahupun menyiasat pihak-pihak yang mempunyai akses terhadap bilik berkenaan.

“Saya menerima keterangan tertuduh bahawa bilik itu boleh diakses oleh DJ, kru, pengurusan kedai dan para tetamu manakala keterangan pendakwaan tidak menunjukkan hanya tertuduh mempunyai akses ke bilik tersebut.

“Justeru bukan tertuduh seorang sahaja yang mempunyai jagaan dan kawalan dadah yang dijumpai dalam bilik tersebut dan polis juga mengesahkan tiada barangan peribadi tertuduh dalam beg berkenaan,” jelas hakim berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa dadah yang disimpan dalam beg berkenaan berada dalam kawalan serta milikan Ismahalil.

Pengasas stesen radio ‘Bapakku FM’ itu menangis terharu sambil melaungkan `Allahu Akbar’ dan membuat sujud syukur dalam kandang tertuduh sebaik sahaja hakim berkenaan selesai mengumumkan keputusannya dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan rakan yang mengikuti prosiding berkenaan.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Muhammad Jamil turut berpuas hati bahawa kes pendakwaan bertentangan sama sekali dengan kes pembelaan.

Menurut hakim berkenaan, pembelaan tertuduh menyatakan, ketika serbuan dia dipaksa oleh pegawai tangkapan untuk mengambil beg yang terletak di tepi kepala katil.

Hakim Muhammad Jamil sebaliknya berkata, keterangan itu bercanggah dengan versi pegawai tangkapan yang bertanyakan Ismahalil sama ada dia menyimpan barang-barang salah sebelum tertuduh mengambil beg atas lantai dan menyerahkannya kepada pegawai itu.

“Mahkamah perlu mempertimbang sama ada tertuduh atau saksi-saksi pendakwaan bercakap benar ketika memberi keterangan,” jelasnya.

Mahkamah turut berpendapat, keterangan pendakwaan tidak menunjukkan tempoh masa tertuduh berada dalam bilik berkenaan walhal tertuduh mengaku dia berada dalam bilik itu lebih kurang 30 saat sebelum pihak polis membuat serbuan.

Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Ismahalil, 50, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Seksyen itu telah dipinda dan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (life imprisonment) dan jika bukan hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan minimum 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Pada 30 Mei lalu, Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah, bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak di sini iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Menurut tertuduh, bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin, bebas digunakan oleh para DJ untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.

Ismahalil menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan DJ dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk `on air’ selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Sementara isteri tertuduh Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN