Boy Iman, pengurus syarikat fail representasi gugur pertuduhan - Utusan Malaysia

Boy Iman, pengurus syarikat fail representasi gugur pertuduhan

NORUL Iman Abdul Rahman atau Boy Iman hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi sebutan kes menipu seorang wanita berhubung program festival raya. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Boy Iman serta seorang pengurus syarikat sedang menyiapkan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, April lalu.

Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman, 43, dan Nor Azmi Jantan, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

“Pihak kami baharu sahaja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami.

“Oleh itu, kami mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.

Sementara itu, peguam Muhamad Izhar Azmi mewakili Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing berusia 51 tahun, yang turut berdepan pertuduhan sama, berkata pihaknya telah mengemukakan representasi kepada pendakwaan pada 13 Julai lalu berkaitan pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan kes.

Pada 25 April lalu, Boy Iman dan tiga yang lain termasuk dua wanita didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdaya mangsa dalam penjualan tapak perniagaan (booth) atau penyewaan tapak sempena festival Horay X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.

Kesalahan didakwa dilakukan di di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pukul 2.34 pagi pada 19 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Boy Iman berkata pihaknya akan ‘melawan’ untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Saya nak gugurkan (pertuduhan) sebab saya tidak bersalah, kalau saya salah lainlah. Saya ada hak, jadi saya lawan,” katanya.

Boy Iman sebelum ini dikaitkan dengan penipuan apabila namanya terpalit dalam satu program besar di WTC.

Program jualan raya Hooray x Fest Raya itu sepatutnya berlangsung pada 19 April sehingga 21 April namun telah dibatalkan pada saat akhir.

Bagaimanapun menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dan menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian.

Beberapa hari selepas didakwa, Boy Iman pernah mencetuskan pelbagai reaksi netizen apabila cuba terjun sebuah jambatan namun tindakannya terbantut selepas ditarik seorang lelaki dan menenangkannya.

Tindakannya itu kemudian tular selepas satu klip video memaparkan situasi itu yang dimuat naik di Instagram jabatannetizennegara20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya