1MDB: Hakim dedah pernah menjadi rakan kongsi Jasmine Loo - Utusan Malaysia

1MDB: Hakim dedah pernah menjadi rakan kongsi Jasmine Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) hari ini mendedahkan bahawa beliau dan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama, lebih 10 tahun lalu.

Hakim Sequerah memaklumkan perkara itu selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menimbulkan isu penahanan wanita itu pada perbicaraan penyelewengan dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini.

“Disebabkan isu ini telah ditimbulkan, perlu saya nyatakan di sini bahawa saya pernah bekerja bersama Jasmine Loo, kami merupakan rakan kongsi dalam sebuah firma guaman yang sama (Zain & Co), mungkin 10, 15 tahun lalu.

“Saya rasa perlu saya nyatakan mengenai perkara ini ekoran namanya (Jasmine) telah disebut dalam perbicaraan ini,” kata Hakim Sequerah.

Terdahulu, Muhammad Shafee menimbulkan persoalan sama ada Jasmine yang dikatakan sebagai saksi kedua paling relevan dalam perbicaraan tersebut akan dipanggil memberi keterangan atau akan ditawarkan sebagai saksi kepada pembelaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pada ketika ini Jasmine masih lagi berada dalam siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Sehingga hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum menerima hasil siasatan yang dijalankan ataupun dirujuk keterangannya kepada kami. Sehubungan itu, kami (pendakwaan) tidak dapat membuat keputusan sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.

“Selepas menerima hasil siasatan, kami akan mendapat arahan selanjutnya daripada pihak atasan dan kemudian akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada akan memanggil Jasmine sebagai saksi atau sebaliknya,” kata Ahmad Akram.

Jasmine menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai lalu dan kini sedang memberi keterangan terhadap pihak polis. Wanita itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk siasatan selepas PDRM tamat mengambil keterangan.

Pada 3 Mei lalu, seorang lagi sekutu Jho Low, Kee Kok Thiam telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa selepas visanya tamat tempoh.

Menurut laporan Al JAzeera, Kok Thiam memberitahu SPRM bahawa Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, pegawai 1MDB Terence Geh Choh Heng dan bekas CEO 1MDB dan pemegang mandat akaun peribadi Najib, Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.

Lelaki terbabit bagaimanapun meninggal dunia tiga minggu selepas memberi keterangan kepada SPRM.

Najib, 70, kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya