MELAKA: Seorang tukang bersih inap desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dengan kayu golf, baton besi dan kayu buluh.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh Azwan Azman, 32, mendakwa mangsa yang berusia 28 tahun menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki berumur 19 tahun.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya menggunakan sebatang kayu golf, baton besi dan kayu buluh.
Perbuatan itu dilakukan pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Jun 2023.
Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Siva Shangari tidak mencadangkan sebarang jaminan setelah mengambil kira kecederaan parah dialami mangsa.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan ibu tertuduh yang akan menjadi penjamin hanya membawa wang sebanyak RM4,000.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali pada setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – UTUSAN