Tuduhan dadah: Yasin masih jalani pemeriksaan mental - Utusan Malaysia

Tuduhan dadah: Yasin masih jalani pemeriksaan mental

YASIN Sulaiman ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi mendengar representasi ketiga kes dadah baru-baru ini. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam dibe­ritahu, pihak pendakwaan masih belum memperoleh laporan psikiatri penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bagi menentukan sama ada artis itu layak dibicarakan atas pertuduhan dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan, penyanyi tersebut masih menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak, sejak bulan lalu.

Pada 8 Mei lalu, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memerintahkan Yasin, 48, dirujuk ke hospital berkenaan selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Ketika kes disebut di hadapan Nik Nasimah semalam, Ahmad Zuhaini memberitahu, laporan tersebut masih belum siap dan pihaknya memohon satu lagi tarikh sebutan bagi memaklumkan perkembangannya.

Sementara itu, Ariff Azami berkata, laporan psikiatri masih dalam proses untuk disiapkan dan pihak hospital mempunyai tempoh maksimum dua bulan untuk melengkapkannya.

Sehubungan itu, Nik Nasimah menetapkan 6 Julai ini bagi sebutan semula kes dan status laporan psikiatri Yasin.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan, terdapat asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Jelas peguam itu, laporan yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Pada 15 Mac lalu, Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiganya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonannya.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya