MELAKA: Seorang pengamal perubatan alternatif yang turut popular dengan gelaran ‘pakar buang saka’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengaitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan Dajal.
Tertuduh, Adam M. Isa, 65, atau lebih dikenali sebagai ‘Tabib Adam’ oleh kira-kira 60,000 pengikutnya di saluran YouTube membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara sedar telah menggunakan akaun YouTube miliknya, Tabib Adam M. Isa membuat hantaran yang bersifat jelik dengan menggunakan perkataan Dajal.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.51 petang dengan niat menyakitkan hati di alamat Lorong Bilal, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 30 Jun 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Dalam pada itu, pendakwaan turut memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sekali dalam sebulan di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, peguam Mohd. Tajuddin Abdul Razak memohon jaminan RM8,000 diberikan dengan alasan anak guamnya tiada pekerjaan tetap, selain mempunyai isteri dan lapan orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan, seterusnya menetapkan 18 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, Tabib Adam didakwa atas kesalahan mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu klip video berdurasi 9 minit 57 saat.
Jelasnya, tertuduh mendakwa JAIM telah dipergunakan dan dipengaruhi oleh orang awam atas tindakan yang telah diambil terhadapnya dan mengatakan bahawa Dajal bekerja dengan agensi itu.
Pada Jun tahun lalu, tertuduh ditahan penguatkuasa JAIM selepas disyaki berkhalwat dengan seorang janda anak seorang yang juga pembantunya di sebuah rumah. – UTUSAN