Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah saman Kuza, Kunie - Utusan Malaysia

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah saman Kuza, Kunie

KUZA (tengah) dan Kunie (kiri) didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berkaitan majlis yang dihadiri Kuna (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah, Datuk Rizalman Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap dua bekas adik iparnya yang mendakwa kakak mereka yang juga seorang pelakon tidak dibenarkan bergambar dengan tetamu kehormat sewaktu majlis perkahwinan anaknya kerana berstatus janda.

Saman tersebut difailkan pada 8 April lalu di Mahkamah Sesyen di sini melalui firma guaman, Tetuan Adnan Sharida & Associates.

Menurut semakan mahka­mah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Jun ini.

Selain Rizalman, 51, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, turut menjadi plaintif dalam saman fitnah itu ialah anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, 27.

Mereka menamakan pelakon, Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd. Muzani dan adiknya, Tengku Sariwani atau Kunie sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa dua beradik itu (Kuza dan Kunie) telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.

Kenyataan yang dikatakan fitnah itu dikatakan berkaitan dengan pelakon, Tengku Sarina Tengku Mohd. Muzani atau Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi yang merupakan anak kepada Rizalman dan Kuna sebelum pasa­ngan itu bercerai sekitar 2001.

Menurut penyataan tersebut, satu raptai majlis persandingan telah diadakan pada 16 Februari lalu memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis tersebut turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Pada majlis raptai tersebut, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis bagaimanapun selepas majlis raptai selesai, pihak pengantin lelaki dan perempuan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara bahawa hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan untuk berada di dalam bilik menunggu yang menepatkan pasangan diraja itu bagi tujuan bergambar.

“Plaintif pertama (Rizalman) telah memilih untuk hadir de­ngan isterinya, Datin Syazlina Bahardin dan plaintif kedua (Nik Muhammad Hakimi) terpaksa memaklumkan ibu kandungnya, Kuna bahawa Kuna tidak boleh hadir bersama dengannya ke bilik menunggu bagi mengelakkan percanggahan protokol ditetapkan oleh Istana Negara.

“Apatah lagi ia bukan majlis sebelah plaintif sebaliknya adalah majlis belah pengantin perempuan. Selepas plaintif kedua memohon maaf sebagai tanda hormat dan memaklumkan perkara tersebut, Kuna memberitahu plaintif kedua melalui nota suara WhatsApp bahawa beliau terima ketetapan majlis belah perempuan tersebut dan tiada sebarang masalah atau pertikaian timbul pada malam 16 Februari lalu,” ujar penyataan tuntutan tersebut.

Sungguhpun begitu, pada maj­lis-majlis yang diadakan 17 hingga 19 Februari lalu, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya yang turut menempatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan bersama isterinya dan beberapa kenamaan lain.

Kedua-dua defendan, Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.

Bagaimanapun pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa telah mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama-sama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana pelakon itu berstatus janda.

Rizalman dan anaknya, Nik Muhammad Hakimi memohon perintah injunksi dikenakan terhadap Kuza dan Kunie bagi menghalang mereka atau ejen-ejen dua beradik itu mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah itu dalam apa jua bentuk dan medium. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya