10 kes Azlan Man dibicarakan bersama - Utusan Malaysia

10 kes Azlan Man dibicarakan bersama

AZLAN Man hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes tuntutan palsu dan AMLA. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menghadapi lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta, akan didengar secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan lisan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong agar 10 pertuduhan itu dibicara bersama mengikut Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan ia tidak dibantah pihak pembelaan.

Azlan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sementara lima pertuduhan AMLA di ibu negara.

Pada prosiding semalam, Zander memohon lima pertuduhan di Kangar dipindahkan ke sini dan digabung dengan lima pertuduhan di bawah AMLA untuk dibicarakan secara bersama.

Beliau memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A CPC kepada pembe­laan untuk digunakan pada perbicaraan kelak.

Zander memohon tarikh se­butan kerana difahamkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan dihadapi tertuduh.

Sementara itu peguam Bur­hanudeen Abdul Wahid yang me­wakili Azlan mengesahkan sudah menerima dokumen di bawah Seksyen 51A selain memohon masa meneliti dokumen tersebut sebelum menyediakan representasi.

Mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan kes.

Pada 12 April lalu, Azlan didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, sembilan tahun lalu.

Tertuduh didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.

Pada 10 April lalu, tertuduh didakwa di Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.

Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Tertuduh didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya