Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental - Utusan Malaysia

Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental

MUHAMMAD YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim berkenaan kemudian menetapkan 22 Jun ini agar laporan psikiatri dikemukakan kepada mahkamah.

Terdahulu, Ariff Azami ketika membuat permohonan itu memaklumkan, pihak pembelaan mempunyai asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin, 48, diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

Jelas Ariff Azami, laporan-laporan itu juga menunjukkan Yasin pernah diserang simptom yang boleh membahayakan dirinya.

“Laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mohamad Amin memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Yasin turut diwakili oleh peguam Nur’ain Shahiera Khalid. Turut kelihatan di mahkamah ahli keluarga terdekat Yasin termasuk anak perempuan dan adik beradik beliau.

Pada 7 Mac lalu, Yasin gagal kali kedua dalam permohonan representasi untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya.

Ia ditentukan berikutan Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Yasin untuk mengkaji pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memberi dirinya dadah berbahaya ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, tarikh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya