MELAKA: Seorang lagi lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian pesara, Sa’adon Sahat pada Februari lalu.
Tertuduh, Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, yang merupakan pekerja kilang hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Sa’adon, 57.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah pada 27 Februari 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha manakala tertuduh diwakili peguam R. Ryshinah.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat kematian mangsa.
Pada 27 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang tukang gunting rambut warga asing dari India berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pesara.
Tertuduh, S. Logamurugan, 27, mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Sa’adon. – UTUSAN