Pengarah syarikat didenda RM300,000 tipu Perkeso - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didenda RM300,000 tipu Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembersihan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga menyebabkan pertubuhan itu menyerahkan wang RM236,080, dua tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhi hukuman itu ke atas M. Karthikesan, 44, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didenda berjumlah RM50,000 atau penjara 25 bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Tertuduh juga didenda berjumlah RM250,000 atau penjara 54 bulan bagi tiga lagi pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Karthikesan didakwa sebagai pemilik kepada Syarikat Fajaa Murudana Sdn. Bhd. dan Profit Sonata Sdn. Bhd. secara tidak jujur, menipu ejen Perkeso sehingga mendorong pertubuhan itu menyerahkan RM236,080.

Perbuatan itu menyebabkan Perkeso mempercayai bahawa 20 orang dalam senarai pekerja di Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu bertarikh 12 dan 4 Mei 2021, walhal mereka bukan pekerja syarikat tersebut.

Wang itu dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik syarikat tertuduh yang mana pertubuhan itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak dan Jalan Selangor Seksyen 6, Petaling Jaya di sini antara 19 Mei 2021 dan 22 Mei 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memohon hukuman denda berjumlah RM300,000 agar memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat berhubung kesalahan ini.

“Pihak pendakwaan memohon jumlah denda RM300,000 dikenakan kepada tertuduh kerana ia wajar dan setimpal selaras dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Sementara itu, peguam Vijaya Sandran yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya telah insaf serta menanggung keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya