Hisyam Teh Poh Teik ketuai pembelaan rayuan Siti Bainun - Utusan Malaysia

Hisyam Teh Poh Teik ketuai pembelaan rayuan Siti Bainun

HISYAM TEH POH TEIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam senior, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dilantik mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan peguam Siti Bainun, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor dalam prosiding rayuan penangguhan hukuman penjara anak guamnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ahmad Bache di sini hari ini.

Hisyam sebelum ini pernah mengendalikan kes berprofil tinggi antaranya rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).

Perkara itu menyaksikan selain Hisyam, antara peguam mengendalikan pembelaan Siti Bainun adalah Nur’Aminahtul Mardiah, Mohammad Farhan Maaruf dan Ahmad Faiz Munawar.

Terdahulu, Nur’Aminahtul Mardiah memaklumkan pihaknya merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menolak permohonan Siti Bainun untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara pada 3 Mei lalu.

Katanya, pasukan pembelaan telah memfailkan notis usul dan afidavit sokongan terhadap rayuan itu.

Jelas beliau, antara alasan dikemukakan dalam afidavit itu, tertuduh mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan hempedu serta menanggung seorang ibu yang tua dan sakit.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan, pihaknya memerlukan masa untuk menjawab alasan dikemukakan peguam tertuduh dan mohon tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Sebaliknya Nur’Aminahtul Mardiah memohon agar pendengaran itu disegerakan dan minta ia dilakukan dalam masa terdekat.

Justeru pendakwaan diminta untuk menjawab alasan dalam tempoh 10 hari manakala mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk pendengaran semula rayuan Siti Bainun.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Siti Bainun untuk penangguhan hukuman penjara di atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella pada tiga tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pasukan pembelaan dan pendakwaan terhadap permohonan penangguhan hukuman. Ini bermakna Siti Bainun perlu menjalani hukuman penjara dengan serta-merta.

Mahkamah sebelum itu menetapkan pengasas Rumah Bonda dihukum penjara 12 tahun di atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Hukuman itu ditetapkan terhadap Siti Bainun selepas mahkamah berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala 12 tahun untuk kesalahan kedua.

Bagaimanapun wanita itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh sabitan.

Sebelum ini, tertuduh diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya