KUALA LUMPUR: Pelakon, Hafidz Roshdi menuntut hak penjagaan penuh dua anaknya yang kini berada di bawah jagaan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Permohonan tersebut difailkan pada 18 April lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Ia ditetapkan untuk sulh pada 12 Jun ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff ketika dihubungi media hari ini.
Selain itu, peguam syarie itu turut memaklum, Hafidz atau nama penuhnya, Muhammad Hafidz Roshdi turut memohon hak jagaan interim (sementara) bagi kedua-dua anaknya.
“Permohonan hak jagaan interim dibuat kerana terdapat kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anaknya.
“Jadi suatu perintah interim diperlukan supaya suatu sistem hak lawatan dapat dijalankan, khususnya anak-anak yang semestinya memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada kedua ibu bapa mereka,” kata Puteri Ummi Kartini.
Tambahnya, permohonan hak penjagaan interim itu difailkan pada 12 Mei lalu.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Bagaimanapun, permohonan tersebut tergantung selepas Mahkamah Rendah Shah Alam perlu mengesahkan lafaz cerai pasangan itu.
Ini kerana terdapat dakwaan bahawa Hafidz pernah melafazkan talak sebanyak dua kali.
Kemelut rumah tangga pasangan tersebut memuncak apabila Hafidz didakwa telah menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali.
Kejadian didakwa berlaku pada pukul 3.30 pagi, 2 Mac lalu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat sini.
Hafidz tidak mengaku bersalah atas tuduhan tersebut ketika didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. – UTUSAN