Pemilik bersama Crackhouse dapat sementara pasport, boleh tunai umrah

Pemilik bersama Crackhouse dapat sementara pasport, boleh tunai umrah

RIZAL Van Geyzel (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur i bagi sebutan permohonan untuk mendapatkan passport. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilik bersama kelab komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel yang didakwa membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum boleh menunaikan umrah pertengahan Mei ini, selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonannya untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya.

Hakim N.Priscilla Hemamalini membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam bela, M. Pravin yang mewakili Rizal atau nama penuhnya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 40, dan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Abu Bakar tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Terdahulu ketika berhujah, Pravin memberitahu, anak guamnya akan menunaikan umrah pada 15 Mei ini dan pulang ke Malaysia pada 29 Mei 2023.

“Anak guam saya akan mengembalikan pasport itu sehari atau dua hari selepas pulang daripada menunaikan umrah,” kata peguam. 

Priscilla Hemamalini selepas membenarkan permohonan itu turut memerintahkan agar pasport berkenaan dipulangkan ke mahkamah pada 31 Mei ini.

Pada 22 Julai 2022, Rizal didakwa atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ di antara 4 dan 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya