Pemasang mozek pecah masuk bengkel dijel setahun

Pemasang mozek pecah masuk bengkel dijel setahun

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memecah masuk bangunan dan mencuri. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah memecah masuk bangunan dan mencuri satu set peralatan membaiki kereta, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Idris Karim, 41, yang bekerja sebagai pemasang mozek mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah masuk kedai dan mencuri satu set tool box bernilai RM3,000.

Perbuatan itu dilakukan pukul 1.46 pagi di Nazree Auto Garage, Lorong Pandan, Kampung Lapan dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Februari 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu menutup bengkel berkenaan kira-kira pukul 6.45 petang pada 14 Februari 2023 dalam keadaan baik dan berkunci.

Pada keesokan hari, pengadu mendapati rantai kunci pintu belakang telah dipotong dan satu kotak peralatan membaiki kereta telah hilang. Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh mencurinya.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menyara anak berusia setahun serta ibunya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya