MELAKA: Hanya kerana sekotak paracetamol, seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulhilmi Sholehat, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri ubat berkenaan di sebuah premis, minggu lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah melakukan kesalahan mencuri satu kotak Panadol Activefast bersamaan 100 biji.
Perbuatan itu dilakukan pukul 3.51 petang dI Watson Personal Care Stores Sdn. Bhd. di Taman Duyung Bistari dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Februari 2023.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah hilang pekerjaan sebagai tukang cuci kereta dan mengalami kesempitan wang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan penjara sehari dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.
Tertuduh gagal membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Sungai Udang.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut dihadapkan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah akta sama, dibaca bersama Seksyen 38B akta sama kerana memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi kesalahan itu dan menetapkan 4 April depan untuk serahan laporan patologi dan sebutan semula kes. – UTUSAN