ALOR SETAR: Bekas pegawai polis berpangkat inspektor didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM500, lapan tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Hilmi Abd. Hamid, 39, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan tersebut.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai Inspektor polis didakwa menerima wang tunai RM500 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun dengan tiada balasan, namun mengetahui ia sebagai dorongan berhubung tugas rasminya.
Kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic berhadapan sebuah kedai makan di Kampung Ceruk Bemban di Kupang, Baling dekat sini pada pukul 3.45 petang, 17 April 2015.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan sementara tertuduh diwakili peguam, S. Parameswaran. –UTUSAN