MELAKA: Padah mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM 147,400, tiga individu yang merupakan majikan syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kesemua tertuduh, Muhammad Hafizi Ab. Jamal, 33; Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Nurul Ain Shamdudin, 30, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan dua pertuduhan terhadap Muhammad Hafizi yang juga Pengurus Syarikat Rizky H&I Global, tertuduh didakwa mengemukakan butiran palsu melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud bagi menuntut insentif berjumlah RM74,600.
Dalam pada itu, Asmida Shahfika yang merupakan pemilik Syarikat Roti Warisan Enterprise turut didakwa atas kesalahan sama iaitu dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu, sedangkan individu disenaraikan bukan pekerjanya dengan jumlah tuntutan bernilai RM36,900.
Sementara itu, Nurul Ain yang juga Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise turut didakwa dengan kesalahan sama membabitkan nilai tuntutan RM35,900.
Kesemua kesalahan itu dikesan dilakukan kesemua tertuduh di Pejabat Perkeso Melaka antara 19 Mei 2021 hingga 18 Jun 2021.
Kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM 10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Zaudi Nordin Mohd. Yasri Yahya mencadangkan jaminan RM15,000 kepada Asmida Shahfika dan Nurul Ain, manakala RM40,000 terhadap Muhammad Hafizi dengan mengambil kira nilai tuntutan masing-masing.
Pendakwaan turut memohon kesemua ertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Hafizah Sani yang mewakili tertuduh wanita memohon jaminan dikurangkan dengan alasan Asmida Shahfika kini hamil anak ketiga, manakala Nurul Ain hanya membantu suaminya berniaga dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Tertuduh lelaki pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dikenakan terhadap Asmida Shahfika dan Nurul Ain manakala RM20,000 kepada Muhammad Hafizi. – UTUSAN