Terima deposit RM82,000, wanita berdepan denda RM50 juta

Terima deposit RM82,000, wanita berdepan denda RM50 juta

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima deposit pelaburan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menerima deposit pelaburan berjumlah RM82,000 tanpa lesen sah, seorang wanita berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada Nurul Syahirah Mohd. Amir, 27, berjumlah RM82,000 tanpa lesen sah, mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Perbuatan itu dilakukan di alamat Lot 857, Jalan Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu antara 10 Jun 2022 kira-kira pukul 1.20 petang sehingga 10 Ogos 2022 pukul 8.51 malam.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim menawarkan jaminan RM50,000 dengan mengambil kira kerugian dialami pengadu.

Turut dimaklumkan kepada mahkamah, tertuduh juga mempunyai kes sama yang sedang dibicarakan di beberapa mahkamah dalam negara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan dua anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN