Kerana rokok, penganggur pukul anak dan isteri

Kerana rokok, penganggur pukul anak dan isteri

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencederakan isteri dan dua anaknya. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana rokok, seorang penganggur sanggup bertindak ganas dengan mencucuh puntung rokok pada isteri dan mencederakan dua anaknya, berikutan berang tidak dibelikan produk tembakau tersebut.

Tertuduh berusia 37 tahun mengaku bersalah atas empat pertuduhan dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, tertuduh didapati telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan cara mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan bahagian mata sebelah kiri mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Untuk prosiding di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman pula, tertuduh didapati bersalah atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri dan dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah memukul pipi kiri dan seluruh badan isterinya menggunakan tangan, juga menendang belakang badan anak lelakinya berusia 12 tahun serta menumbuk mulut anak perempuannya berumur 13 tahun sehingga cedera.

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan penjara sehingga dua tahun atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi pada 17 Oktober 2022.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap 23 Oktober lalu, manakala Mahkamah Majistret menetapkan penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan yang didakwa.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya