MELAKA: Padah menyebarkan gambar lucah kenalan wanitanya melalui aplikasi WhatsApp lima tahun lalu, seorang peniaga pasar malam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Azrin A. Hamid, 44, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya iaitu gambar dengan niat menyakiti hati orang lain.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 8.27 malam dan 8.59 malam pada 25 Julai 2017.
Kedua-dua kandungan itu telah dilihat pengadu pada hari sama, pukul 8.30 malam dan 26 Julai 2017 pukul 1.38 petang di sebuah rumah di Serkam Darat, dalam daerah Jasin.
Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui portal dalam talian pada 2 Oktober 2017 selepas menerima hantaran lucah yang disebarkan dalam satu kumpulan WhatsApp.
Pengadu berasa sakit hati dan malu kerana kandungan berunsurkan lucah tersebut adalah gambar-gambarnya.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai peniaga pasar malam, selain menanggung isteri serta kakak ipar yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SKMM Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman berbentuk pencegahan diberikan dengan mengambil kira perbuatan tertuduh adalah serius dan mengaibkan mangsa serta keluarga.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – UTUSAN