Didakwa tembak kucing jiran guna senapang angin

Didakwa tembak kucing jiran guna senapang angin

AZIZ Tambi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menembak seekor kucing serta memiliki selaras senapang angin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Akibat gagal mengawal perasaan marah berikutan kucing milik jiran selalu memasuki kediamannya, seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menembak mati haiwan peliharaan itu menggunakan senapang angin.

Bagaimanapun, tertuduh, Aziz Tambi, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan pukul 2.30 petang di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Jun 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 mengikut Seksyen 29 (1) (c) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Pada 21 Jun 2022, Utusan Malaysia melaporkan, dua beranak ditahan polis selepas dipercayai menembak kucing peliharaan jiran mereka menggunakan senapang angin buatan sendiri sehingga menyebabkan haiwan itu mati.

Suspek yang ditahan merupakan warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, suspek menembak kucing tersebut kerana berang haiwan itu memasuki rumah mereka.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah pada 19 Jun 2022.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Mohd. Ishak Kari merayu jaminan rendah diberikan atas faktor usia anak guamnya, selain hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan upah RM50 sehari.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 29 (1) (c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan RM2,500 untuk Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya