MELAKA: Seorang pekerja kedai telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, minggu lalu.
Tertuduh berusia 18 tahun yang berdepan hukuman penjara 20 tahun membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira pukul 3.04 pagi di sebuah alamat di Plaza Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah, pada 8 September 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon jaminan tidak dibenarkan.
Namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.
Peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya baru dua minggu bekerja serta perlu menjaga nenek yang menghidap darah tinggi dan kencing manis.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan sema kes dan serahan dokumen serta laporan perubatan mangsa. – UTUSAN