Tipu mahu ambil cempedak, sebelum rompak rakan sendiri

Tipu mahu ambil cempedak, sebelum rompak rakan sendiri

MUHAMMAD AL SUFFIAN Ab. Razak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merompak barang kemas, seutas jam tangan dan seunit telefon bimbit milik seorang wanita warga Indonesia. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Taktik seorang lelaki menipu rakan sendiri kononnya ingin mengambil cempedak di rumah datuknya sebelum merompak mangsa membawa padah, selepas dia dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Al Suffian Ab. Razak, 34, didapati merompak barang kemas, seutas jam tangan dan seunit telefon bimbit milik seorang wanita warga Indonesia, Puani dengan menggunakan senjata maut iaitu gunting. 

Tindakan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9 malam di tepi jalan di Lipat Kajang dalam daerah Jasin pada 9 Ogos lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang membuat pengakuan bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat. 

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh berjumpa dengan mangsa di parkir sebuah restoran di Ayer Keroh Heights di sini dan membawanya menaiki kereta jenis Perodua Myvi menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tertuduh kemudian menukar haluan dengan mendakwa ingin mengambil cempedak di rumah datuknya di Jasin.

Sebaik sahaja keluar dari Plaza Tol Jasin, tertuduh memberhentikan kenderaan lalu merampas barang kemas, jam serta telefon bimbit mangsa sebelum meninggalkan wanita itu di tepi jalan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan perlu menjaga isteri serta anak-anak yang masih kecil, selain telah insaf. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan dari tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos lalu. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya