Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 migran Myanmar

Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 migran Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyeludup 25 migran warga Myanmar, dua minggu lalu. 

Berdasarkan pertuduhan, remaja yang berusia 17 tahun itu bersama-sama seorang yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul pada 12.05 tengah hari pada 2 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang berada di bawah bidang kuasa  Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

Pada prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Azura Alwi, media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah bagi mendengar prosiding kerana melibatkan pesalah juvana. 

Menurut Muhamad Zuraidi yang ditemui media selepas tamat prosiding, mahkamah menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pada 3 Ogos lalu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin ke bandar raya selepas menahan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dilaporkan berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat sini pada 12.05 tengah hari.

Beliau dipetik berkata remaja itu enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis dan bertindak melarikan diri, sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas serta tiga kereta orang awam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya