SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini melepas dan membebaskan tanpa memanggil membela diri lima individu termasuk seorang bekas pegawai kanan polis atas dakwaan membunuh tiga lelaki tujuh tahun lalu.
Hakim, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap S.Selvakumar, 45, tiga adik beradik yang merupakan peniaga besi buruk, N. Rajasakanan, 43, N. Sureshkannah, 42 dan N. Thanabalan, 35 serta pemandu lori, R.Veeramuthu, 56.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima orang kena tuduh (OKT) dan melepaskan serta membebaskan mereka tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Kelima-lima mereka pada bulan Mei 2018 dituduh membunuh K. Thinesh, M. Tansewaran dan P. Kartisan antara 6 pagi dan 11 malam di ladang kelapa sawit di Jalan Seremban-Mantin pada 25 Februari 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam keputusan tersebut juga, Azman memberitahu, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi utama pendakwaan.
Keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan atas penemuan mayat-mayat tersebut juga, malah, tidak boleh diterima kerana pihak polis terlebih dahulu menjumpai mayat-mayat tersebut dan bukan ditunjukkan oleh kesemua OKT.
Selvakumar diwakili peguam, Datuk KL Chee manakala Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili Sureshkannah dan Thanabalan.
Veeramuthu dan Rajasakanan pula diwakili peguam, Paul Krihsnaraja dan Amy Chong manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abd Majib. –UTUSAN ONLINE