Bunuh kekasih: Mekanik berdepan tali gantung 

Bunuh kekasih: Mekanik berdepan tali gantung 

AMIRUL Amin Amiruddin dibawa ke Mahkamah Majistret di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang mekanik berdepan hukuman gantung di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didakwa menyebabkan kematian kekasihnya dengan menekup muka menggunakan bantal di Kampung Pandan, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebaliknya tertuduh, Amirul Amin Amiruddin, 19, menganggup faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.

Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Amin dituduh membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di rumah lot bernombor 4475, Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang, Rabu lalu pukul 7.18 petang.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Muhammad Hanis Zulkapli manakala tertuduh diwakili peguam Althea Suraya Rahmat. 

Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, forensik dan DNA. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keluarga mangsa berharap lelaki yang menyebabkan kematian wanita itu dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memaklumkan, mangsa yang merupakan seorang kerani swasta ditekup muka oleh tertuduh selepas dipercayai tidak berpuas hati kekasihnya memutuskan hubungan dalam satu kejadian di rumah wanita tersebut pada 24 Ogos.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan polis pada pukul 9.20 malam pada hari sama oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya