Siti Nuramira, kekasih akhirnya bayar jamin - Utusan Malaysia

Siti Nuramira, kekasih akhirnya bayar jamin

SITI Nuramira Abdullah (kiri) diiringi anggota polis tiba untuk didakwa atas kes menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismai baru-baru ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir seminggu ditahan di penjara, pasangan kontroversi, Siti Nuramira Abdullah dan kekasihnya V. Alexander Navin akhirnya selesai membayar jumlah keseluruhan jaminan RM40,000 hari ini. 

Jaminan kedua-dua tertuduh dibayar oleh dua penjamin berbeza yang didakwa merupakan kawan kepada pasangan itu sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Bagi urusan pembayaran, penjamin Siti Nuramira hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sementara seorang lagi rakan mereka ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi menjamin Navin.

Peguam bela kedua-dua tertuduh, R. Sivaraj berkata kos jaminan itu dikumpul menerusi sumbangan orang awam daripada dalam dan luar negara yang dimasukkan menerusi akaun bank Lawyers For Liberty (LFL). 

“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti penjamin namun duit jaminan itu merupakan sumbangan orang ramai. Atas jasa baik LFL, kami dibenarkan untuk menggunakan bank akaunnya sebagai medium untuk mengumpul dana berkenaan. 

“Setakat ini, kami belum tahu bila Siti Nuramira dan teman lelakinya akan dibebaskan kerana mereka perlu menjalani beberapa prosedur termasuk ujian Covid-19 sebelum boleh dibebaskan,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. 

Bagaimanapun, Sivaraj berharap anak-anak guamnya boleh dibebaskan hari ini ataupun selewat-lewatnya esok. 

Siti Nuramira, 28, ditahan di penjara satelit Beranang manakala Navin, 38, ditempatkan di penjara satelit Kuala Kubu Bharu sejak 13 Julai lalu. 

Pada tarikh yang sama, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Navin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya