KUALA LUMPUR: Wanita yang menghina Islam ketika membuat persembahan komedi, Siti Nuramira Abdullah dibebaskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pembantu peguam, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir, beliau menerima panggilan daripada pegawai Jawi pada pukul 10 malam semalam dan memberitahu bahawa wanita itu akan dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh Jawi dengan serta merta.
Hannan Syoffeya turut memaklumkan, pendakwaan terhadap Siti Nuramira akan diteruskan selepas Jawi bersedia.
Hannan Syoffeya merupakan pembantu kepada peguam bela, R. Sivaraj yang mewakili wanita itu dan teman lelakinya, V. Alexander Navin.
Menurut kenyataan itu, Siti Nuramira pada mulanya dibawa ke rumah ibu saudaranya di Kelana Jaya, Selangor, namun, ibu saudara Siti Nuramira keberatan untuk menerima dan menempatkan anak saudaranya itu.
“Siti Nuramira kemudian dihantar ke sebuah lokasi di ibu kota iaitu tempat di mana saya tinggal. Saya kemudian membawanya ke dalam kereta saya dan dia meminta bertemu Sivaraj dengan segera sebelum saya menghantarnya pulang ke rumah di Petaling Jaya,” katanya.
Sementara itu, pasukan peguam wanita terbabit berkata, mereka sudah bersedia untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Syariah hari ini, bagaimanapun mengalami kesukaran untuk mendapatkan seorang penjamin beragama Islam.
Pasukan pembelaan itu bagaimanapun berjaya mendapatkan seorang akauntan dari London yang baru pulang ke Malaysia, namun peguam syarie berasa lelaki terbabit tidak sesuai menjadi penjamin.
Kenyataan tersebut diperoleh pada pagi ini ketika pihak media berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Semalam, Siti Nuramira ditahan penguatkuasa Jawi selepas dibebaskan dengan jaminan RM20,000, hasil sumbangan orang awam.
Bagaimanapun, media pada pagi ini difahamkan bahawa pendakwaan terhadap Siti Nuramira di Mahkamah Syatiah tidak akan diteruskan.
Ini kerana pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap Siti Nuramira di Mahkamah Syariah adalah sama dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas wanita itu di Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu.
Pertuduhan di Mahkamah Sesyen bagaimanapun memperuntukkan hukuman yang lebih berat berbanding hukuman di Mahkamah Syariah.
Siti Nuramira sepatutnya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sabit kesalahan, Siti Nuramira, 26, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
Di Mahkamah Sesyen, Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan komediri (stand up comedy) di kelab berkenaan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.
Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun lalu di Restoran Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Pada 13 Julai lalu juga, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, teman lelaki wanita itu, Alexander Navin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
Bekas jurulatih selam bebas itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Lelaki itu juga dibebaskan dengan jaminan RM20,000, hasil kutipan daripada orang awam. –UTUSAN ONLINE