KUALA LUMPUR: Genap seminggu didakwa kerana menghina Islam, esok, Siti Nuramira Abdullah akan didakwa pula atas pertuduhan hampir sama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Pertuduhan ke atasnya akan dikemukakan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sabit kesalahan, Siti Nuramira, 26, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
Semalam, kira-kira pukul 10.22 pagi iaitu beberapa minit selepas dibebaskan dengan jaminan RM20,000, Siti Nuramira ditahan semula oleh beberapa penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menunggunya sejak pukul 9 pagi.
Menurut pegawai penguat kuasa yang enggan dinamakan, wanita terbabit akan ditahan selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok.
Kelmarin, selepas beberapa hari mengumpul sumbangan daripada orang awam, Siti Nuramira dan teman lelakinya, V. Alexander Navin akhirnya berjaya membayar keseluruhan wang jamin RM40,000 yang dikenakan terhadap mereka oleh dua Mahkamah Sesyen yang berbeza.
Pada 13 Julai lalu, di Mahkamah Sesyen di sini, Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan komediri (stand up comedy) di kelab berkenaan.
Menurut pertuduhan pindaan, Siti Nuramira didakwa mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.
Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun lalu di Restoran Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Wanita itu tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut.
Sementara itu, pada tarikh sama, Alexander Navin pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
Bekas jurulatih selam bebas itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Menurut peguam bela mereka, Ramesh Chandran, lelaki itu dibebaskan daripada tahanan reman pada petang semalam. –UTUSAN ONLINE