KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan yang mengatakan remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella merupakan mangsa amang seksual.
Penolong Pegawai JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, juga tidak mengetahui bahawa setiap kali Bella nampak individu berusia, Bella akan menutup kemaluannya dengan menggunakan kedua-dua tangan.
Mohamad Imran memberi jawapan sedemikian selepas peguam, Nur A’minatul Mardhiah Md. Noor mencadangkan perkara tersebut dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Peguam itu turut mencadangkan dakwaan gangguan amang seksual itu merupakan antara sebab syor perintah tetap diberikan kepada tertuduh adalah kerana mangsa pernah diganggu secara seksual sebelum ini.
Nur A’minatul: Ini cadangan kepada pembelaan, Encik Imran telah diceritakan oleh Siti Bainun bagaimana keadaan Bella duduk dengan Siti Bainun sepanjang tiga bulan tempoh perintah sementara.
Imran: Setuju.
Nur A’minatul: Antara lainnya, Encik Imran dimaklumkan Bella yang telah menjadi mangsa amang seksual?
Imran: Tidak betul.
Nur A’minatul: Individu yang melakukannya adalah seseorang yang dipanggil ustaz ataupun pakcik di tempat kediaman Bella sebelum ditempatkan di rumah Siti Bainun.
Imran: Tidak setuju.
Nur A’minatul: Kerana itu, Siti Bainun concern (ambil berat) dan bertanya kepada Encik Imran kenapa Bella suka bercakap tentang perkahwinan dan sarung cincin.
Imran: Tidak setuju.
Menurut Nur A’minatul, terdapat rakaman Bella ada menyebut mengenai ‘pakcik’ itu ketika percakapannya dirakam di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), namun, saksi pendakwaan ke-12 itu mengatakan dia tidak tahu mengenai perkara itu kerana dia tidak menemani Bella ke dalam bilik rakaman tersebut dan hanya menunggu di luar bilik.
Siti Bainun, 30, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mengenai isu amang seksual, Mohamad Imran menyatakan beliau terkejut dengan cadangan tersebut.
“Saya terkejut dan ini merupakan kali pertama saya dengar daripada pihak peguam,” kata saksi itu.
Selain itu, bekas Pegawai Pelindung kepada Bella itu mengulangi jawapannya sebelum ini bahawa beliau tidak pernah bersetuju remaja Sindrom Down itu diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali wanita secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas Rumah Bonda berkenaan.
Bagaimanapun saksi itu berkata, mahkamah telah membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun.
Perintah jagaan sementara itu bermula 14 Julai 2020 sehingga 20 September 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 September 2020.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. –UTUSAN ONLINE