Permohonan Tommy Thomas batal saman Najib 12 Ogos

Permohonan Tommy Thomas batal saman Najib 12 Ogos

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pekan dituduh secara salah akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Ogos ini.

Peguam, Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib memberitahu, permohonan untuk batalkan saman tersebut akan diperdengar di hadapan Hakim Ahmad Bache.

Peguam itu ketika dihubungi media memaklumkan tarikh itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian. 

Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 dan mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Tuduhan-tuduhan tersebut membabitkan 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib juga mendakwa, pada 2016, Thomas dalam artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini telah mengkritik dan menuduh beliau mencuri dana 1MDB. 

Beliau berkata pada 10 Mei 2018, Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau kemudiannya melantik Thomas sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018.

Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya dan berniat jahat untuk mempengaruhi dan mengarahkan penyiasatan terhadapnya serta merancang untuk memenjarakan beliau selain mendakwa pendakwaan terhadapnya tidak mengikut undang-undang.

Oleh itu, Najib juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Thomas dan kerajaan melalui notis difailkan pada 18 November tahun lalu, memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Melalui afidavit sokongan diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah, Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah.

Katanya, keputusan Pendakwa Raya adalah berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes di mana tindakan Najib memfailkan saman itu adalah suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya