KUALA LUMPUR: Hasrat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan khidmat Queens Counsel (QC), Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan, Ogos ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid ketika membaca penghakiman ringkasnya, Laidlaw selaku pemohon gagal menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan rayuan atau kes-kes sama seperti yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Pekan itu.
“Adalah tidak dinafikan bahawa pemohon merupakan antara QC terbaik dalam bidang jenayah kewangan. Tetapi, bagi saya, perkara itu tidak mencukupi untuk menyatakan bahawa pemohon mempunyai kemahiran khas, kepakaran, kelayakan dan pengetahuan berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM).
“Saya mendapati tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa pemohon mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam undang-undang negara ini berbanding peguam cara dan peguam bela tempatan. Pemohon juga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam memberikan nasihat perundangan atau khidmat perundangan pakar di dalam negara ini.
“Hanya kerana fakta menunjukkan bahawa pemohon pernah mengendalikan beberapa kes jenayah perniagaan dan kewangan, pembelaan jenayah, inkues dan inkuiri awam, kawal selia jenayah dan beberapa bidang lagi di United Kingdom dan beberapa tempat lain selain Malaysia, maka, tidak boleh dikatakan bahawa tiada peguam di negara ini yang mempunyai kemahiran dan kejayaan dalam mengendalikan pertuduhan-pertuduhan di bahawa Akta ASPRM,”kata hakim itu ketika menyampaikan penghakimannya secara dalam talian.
Hakim Ahmad Kamal turut menyatakan, Laidlaw juga gagal menunjukkan bahawa beliau mempunyai kelayakan khas atau pengalaman dalam mengendalikan rayuan atau kes-kes sepertimana yang dihadapi oleh Najib.
Pada 1 Jun lalu, Laidlaw melalui notis usul yang difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau diterima masuk sebagai peguam bela Najib dalam rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.
Merujuk kepada permohonan oleh Laidlaw, Hakim Ahmad Kamal berkata, ia menimbulkan syak wasangka dan kekhuatiran bahawa bagaimana pemohon yang tidak arif dengan perundangan negara ini boleh memberi manfaat kepada fraterniti peguam tempatan.
“Melihat kepada perkembangan kes-kes tempatan dan pindaan-pindaan yang dibuat kepada Kanun Tatacara Jenayah, ASPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, saya berpendapat, peguam tempatan mampu mengendalikan kes-kes membabitkan pertuduhan di semua peringkat mahkamah.
“Ini tidak memberi sebarang justifikasi bahawa seorang QC perlu diterima masuk secara adhoc sebagai peguam bela utama bagi rayuan (najib) di Mahkamah Persekutuan,”kata Hakim Ahmad Kamal.
Ujarnya, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa isu baharu yang timbul dalam kes ini, tetapi, ia tertakluk kepada pertimbangan kehakiman berdasarkan undang-undang tempatan.
“Bagi saya, isu baharu ini tidak boleh dianggap secara automatik sebagai sesuatu yang kompleks sehingga memerlukan seorang QC diterima masuk sekaligus memberikan tanggapan bahawa peguam tempatan termasuk barisan pembelaan (Najib) tidak arif mengenai undang-undang tempatan atau tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan dan perubahan undang-undang tempatan,”ujar hakim itu.
Pada 6 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini mendengar hujahan lima penjuru berhubung permohonan penerimaan masuk Laidlaw sebagai peguam bela.
Pada prosiding itu, peguam Harvinderjit Singh berhujah bagi pihak Laidlaw selaku pemohon manakala responden-responden yang membantah permohonan tersebut ialah Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram mewakili pihak pendakwaan; Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan (Jabatan Peguam Negara), peguam, Datuk Bastian Pius Vendargon (Majlis Peguam) dan peguam, Datuk Gurdial Singh Nijar (Badan Peguam Kuala Lumpur).
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Mahkamah Persekutuan adalah rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya.
Pendengaran rayuan ditetapkan selama 10 hari iaitu daripada 15 hingga 19 Ogos sebelum bersambung pada 22 hingga 26 Ogos ini. –UTUSAN ONLINE