Mahkamah batal rayuan pendakwaan Farid Kamil - Utusan Malaysia

Mahkamah batal rayuan pendakwaan Farid Kamil

FARID Kamil ketika hadir pada permohonan pihak pendakwaan untuk lanjutan masa memfailkan rayuan kes yang didakwa menghalang tugas polis di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara 13 bulan ke atas pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari kepada denda RM5,000 mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Justeru, hukuman denda RM5,000 yang dikenakan terhadap pelakon terbabit oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dikekalkan. 

Dalam prosiding hari ini, Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel tiga hakim bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M. Gunalan. 

Ujar Hakim Hanipah, mahkamah tidak dapat menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan pihak pendakwaan melanjutkan masa bagi membetulkan kesilapan dalam notis rayuan.

Menurut pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang, pihaknya terlepas pandang (oversight) berkenaan tandatangan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara dalam notis rayuan tersebut. 

Manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Farid Kamil berkata, berlaku kelewatan di pihak pendakwaan dalam memfailkan permohonan rayuan.

“Terdapat kelewatan selama lima bulan dari tarikh pengurusan kes terdahulu iaitu pada 21 Februari lepas dan pihak pendakwaan hanya memfailkan permohonan rayuan pada 6 Mei,” ujar Hisyam.

Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan ke atas Farid Kamil yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 1.20 tengah hari, 11 Jan 2018, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Pelakon itu juga dipenjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap mangsa yang sama pada masa dan tempat sama, mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Namun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak iaitu Farid Kamil hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 bulan.

Bagaimanapun, berikutan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000 manakala, hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mengambil kira bahawa Farid Kamil telah membayar kompaun kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian itu termasuk anggota polis berkenaan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN