KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah sebuah syarikat perkhidmatan mengubah suai dan dekorasi rumah terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari akan diteruskan melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Perkara itu ditentukan selepas Naz Empire Sdn. Bhd. selaku plaintif dan Awal Ashaari atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari sebagai defendan, gagal mencapai persetujuan agar kes saman itu diselesaikan melalui mediasi.
Peguam Sareekha Roslyna Mohd. Rosly yang mewakili plaintif memberitahu wakil media, tarikh perbicaraan akan ditetapkan pada sesi pengurusan kes selanjutnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache secara dalam talian pada 4 Ogos ini.
“Plaintif dan defendan gagal mencapai persetujuan melalui proses mediasi kerana kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang dikemukakan,” ujarnya selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar A. Shaarmini secara dalam talian, hari ini.
Awal diwakili oleh peguam Hamizah Sobree.
Sareekha turut memaklumkan, pihak-pihak telah memfailkan dokumen perbicaraan termasuk pernyataan saksi.
Ujarnya plaintif akan mengemukakan keterangan dua saksi termasuk Pengarah Naz Empire, Azrianna Alyssa Azmil manakala Awal akan memberikan keterangan selaku defendan.
Pada 7 Julai 2021, Mahkamah Tinggi di sini mencadangkan supaya kes saman fitnah itu diselesaikan secara baik dan dirujuk ke Pusat Mediasi.
Mahkamah juga membatalkan saman terhadap dua lagi defendan, Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli selepas plaintif memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana penyelesaian telah dibuat di luar mahkamah.
Pada 13 November 2020, Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua rakan kongsi perniagaan kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti tersebut.
Dua rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise itu ialah Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi.
Naz Empire dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi didakwa sering berkongsi siaran-siaran gambar atau video berkaitan ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka @houseofsix.my.
Syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan selepas defendan pertama (Awal) membayar deposit sebanyak RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 September 2019.
Plaintif mendakwa, defendan menyatakan beliau mahukan ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya itu.
Ini menyebabkan plaintif memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.
Dakwa plaintif, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau kualiti kerja plaintif.
Awal juga didakwa memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian serta meminta memulangkan semula wang deposit sebanyak RM100,000.
Plaintif mendakwa, Awal telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadapnya dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya serta telah memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’ bagi tujuan sama.
Ekoran itu, Naz Empire mengemukakan saman fitnah berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial. –UTUSAN ONLINE