Keputusan 1MDB mohon dokumen Riza Aziz 4 Ogos

Keputusan 1MDB mohon dokumen Riza Aziz 4 Ogos

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 Ogos ini untuk keputusan permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga penerbit filem, Wolf of Wall Street, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya.

Permohonan tersebut dibuat dalam kes saman 1MDB bagi menuntut semula AS$248 juta Riza dan dua syarikatnya selaku defendan yang didakwa menyalahgunakan dana syarikat pelaburan strategik itu.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili defendan memaklumkan perkara tersebut kepada media selepas pendengaran permohonan itu di kamar Hakim Datuk Amarjeet Singh hari ini.

Peguam Rabindra S. Nathan yang mewakili 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif ketika ditemui media mengesahkan perkara tersebut.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei lalu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman and Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan pertama (Riza) bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya