KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didakwa membunuh seorang warga emas di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, M. Partibekumaran, 37, didakwa membunuh mangsa, Goh Chok Chuan, 63, di Sri Hartamas pada 11 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes membabitkan hukuman mati berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Supritenden Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 29 September ini sebagai sebutan semula kes.
Semalam, dua lelaki iaitu S. Hariadasan, 28, dan G. Sathorohgunosing, 32, didakwa atas tuduhan yang sama. Difahamkan, ketiga-tiga tertuduh mengenali satu sama lain.
Pada 12 Julai lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata, saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.
Beliau berkata, lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang diparkir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu. –UTUSAN ONLINE