HULU SELANGOR: Seramai 28 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini dekat sini kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak tiga tahun lalu.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 22 hingga 46 tahun didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 GST di Tin Mine, Kalumpang dekat sini antara Januari 2019 hingga 23 Jun 2022.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama.
Jika disabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu dan Tamil di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka yang didakwa pada prosiding hari ini ialah P. Thanasegaran, 46; K. Saravanak Kumar, 36; S.Selvamogan ,44; N. Yogeswaran , 41; N.Ganesan, 43; R.Raja Kumar, 39; Aziz Latip Hasannar, 42; N.Chandran, 37; B.Vinot, 27; K.Selvam, 38 dan P.Tachana Moorthy, 36.
Turut didakwa ialah S.Vekneswaran, 36, M.Saravanan, 40; V.Elengo Van, 36; V. Thinagaran, 28; M.Eswaran, 33; S.Navin ,29; S.Kali Muthu, 44; B.Moganraj, 30; A.Poobalan, 29; N.Vijendran , 37; K.Punitharajan, 26; R.Devandran, 35; R.Vengateswaran,26; Tan Eng Sun, 22; P. Sathteswaran, 23; G.Gananathan, 23, dan H. Arvind, 24.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Shafiq Hasim, Khairul Azreem Mamat dan Yong Ching Hong.
Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Datuk Geetham Ram Vincent, Datuk R. Thinalan, Datuk David Gurupatham, JM Mark, K. Shalvin, PS Doal, Mohd Hanif Hassan, Yoges Verasuntharam dan Mujahidah Almukimah Fakhrurazi.
Terdahulu, semasa pertuduhan dibacakan, salah seorang tertuduh didapati menghadapi masalah pendengaran.
Menurut Yoges, beberapa Orang Kena Tahan (OKT) mengalami kecederaan semasa dalam tahanan.
Atas alasan tersebut peguam tersebut memohon agar prosiding hari ini ditangguhkan dan tertuduh dibenarkan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, Nurul Mardhiah mengarah supaya jurubahasa membacakan pertuduhan itu dari jarak dekat.
Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE