PARIT BUNTAR: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun, bulan lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Tanjung Piandang di sini, kira-kira pukul 1.10 petang, 7 Mei 2022.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhammad Syaiful Akmal membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan.
Difahamkan, remaja lelaki yang tidak bersekolah itu ditahan pada Khamis lalu susulan laporan polis dibuat wanita berusia 56 tahun yang mendakwa cucunya telah dirogol suspek di rumah lelaki itu pada 25 Mei lalu.
Mangsa juga mendakwa bapa suspek berusia 48 tahun turut memeluk dan menyentuh payudaranya di lokasi sama, namun, tidak ingat tarikh kejadian itu berlaku.
Difahamkan, mangsa dan kedua-dua suspek tinggal berjiran dan dua beranak itu baru tinggal di kawasan berkenaan sejak awal tahun ini.
Bapa suspek turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping hari ini bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSKK) 2017. – UTUSAN ONLINE