KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali memberikan pandangannya mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘mengarahkannya’ supaya jangan masuk campur hal syarikat itu.
Ekoran `arahan’ tersebut, Ahmad Husni memutuskan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam apa juGa keputusan membabitkan 1MDB.
“Semasa Kerajaan (Pusat) membuat keputusan untuk ambil alih 1MDB, saya telah pergi berjumpa dengan Perdana Menteri (Najib) dan beritahu 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa `feasibility study’ (kajian kebolehlaksanaan). Tetapi Perdana Menteri beritahu saya dia (Najib) akan teruskan.
“Selepas daripada penubuhan 1MDB itu, saya mendapat maklumat daripada pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan yang menyatakan 1MDB ada membuat pelaburan usaha sama dengan syarikat Petrosaudi.
“Saya kemudian pergi bertemu semula dengan Perdana Menteri di pejabat beliau dan menyatakan “1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usahasama dengan Petrosaudi kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak…Jadi sekiranya minyak tidak ditemui, pelaburan tersebut akan hangus”.
“Saya juga menyatakan, 1MDB tiada pengalaman dalam bidang tersebut dan sepatutnya diserahkan kepada pihak Petronas. Tapi, apa yang Najib respon kepada saya, dia menyatakan “Husni, I (Najib) don’t want you to get involve and interfere about 1MDB” (Husni, saya tidak mahu kamu terlibat dan masuk campur mengenai 1MDB),” kata Ahmad Husni yang turut menjelaskan pertemuan tersebut hanya di antaranya dan Ahli Parlimen Pekan itu.
Kajian kebolehlaksanaan adalah proses untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek serta risiko-risiko dari segi perniagaan dan kewangan dan bagi memastikan pelaburan syarikat itu akan mendatangkan keuntungan kepada Kerajaan.
Ahmad Husni berkata, pada 23 Ogos 2010, beliau menghantar surat peribadi kepada Najib melalui Setiausaha sulit bekas Presiden UMNO itu, Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan syarikat 1MDB yang dijangkakan akan mengundang kontroversi dan boleh menjejaskan Kerajaan dan Najib.
“Namun, setelah surat ini diserahkan, saya tidak ada menerima apa-apa maklum balas daripada Najib tentang kebimbangan saya tersebut. Sebagai MK II, saya rasa, saya telah mengambil tanggungjawab untuk menegur perihal berkaitan syarikat 1MDB,”katanya.
Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bagaimanapun pada awal 2015, Ahmad Husni memberitahu Najib telah memanggilnya untuk membantu menyelesaikan masalah 1MDB yang terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi.
Bekas Menteri Kewangan II itu bagaimanapun enggan melaksanakan tugas tersebut kerana tidak pernah terlibat dengan sebarang urusan membabitkan 1MDB.
Tambahnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Wahid Omar juga tidak bersetuju untuk memikul tugas menyelesaikan beban hutang tersebut.
“Apabila dipertangungjawabkan untuk melaksanakan tugas itu, saya bersama-sama Setiausaha Sulit Kanan saya, Imran Yasin Mohd. Yusof telah merangka satu pelan yang disebut Pelan Rasionalisasi 1MDB.
“Antara tugas utama saya ketika itu adalah mendapatkan maklumat berkaitan dengan 1MDB, kedudukan kewangan, aset, senarai tanggungan hutang semasa dan perkara-perkara tentang pelaburan syarikat. Peranan saya bersama dengan Imran adalah hanya setakat merangka pelan rasionalisasi sahaja tetapi perlaksanaannya adalah tanggungjawab pengurusan syarikat 1MDB.
“Dalam proses pelaksanaan pelan rasionalisasi, Najib telah mengarahkan saya supaya mencari jalan penyelesaian pada masalah 1MDB yang menanggung hutang yang terlalu tinggi,”kata Ahmad Husni.
Berdasarkan kandungan penyata-penyata kewangan yang diperolehi dan disemak, Ahmad Husni menyatakan pada 20 Mei 2015, hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah sebanyak RM48.571 bilion.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.- UTUSAN