KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak dan mencederakan dua wanita, Mac lalu.
Tertuduh Rahmat Hidayat Taswir, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rahmat telah melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan playar terhadap Shofiah Hamzah, 77 dan anaknya Nor Taibah Taazim, 34, di hadapan rumah mangsa di Bandar Tun Razak, Cheras pada 26 Mac 2022.
Pada 28 April lalu, rakannya, Muhammad Iqbal Ali Bakar, 34, dan Abu Mukhzim Badarul Sham, 29, yang turut terlibat dalam rompakan tersebut juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa ketika didakwa di Mahkamah Sesyen.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan sebarang jaminan namun beliau mencadangkan jumlah jamin RM15,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara dalam membenarkan tertuduh diikat jamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dia diberikan jumlah jaminan yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai.
Dalam rakaman kejadian yang tular, Shofiah dan Nor Taibah telah disamun ketika berada di hadapan rumah mereka dan mengalami cedera ringan di pergelangan tangan.
Dianggarkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM20,000. –UTUSAN ONLINE