KUALA LUMPUR: Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim tidak berhasrat meneruskan rayuan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan menghina mahkamah.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara akibat kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Peguam Aidil Khalid memaklumkan pihak media hari ini, keluarga Allahyarham Muhamad Adib menarik balik dua rayuan di Mahkamah Rayuan kerana tidak berhasrat memanjangkan lagi perkara tersebut.
Dua rayuan itu dikemukakan oleh Mohd. Kassim Abdul Hamid (bapa) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner membenarkannya memulakan prosiding komital terhadap Tommy.
Dalam permohonan komital, Mohd Kassim, 68, mendakwa Tommy menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.
Satu lagi rayuan dikemukakan oleh Tommy, namun telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Februari lalu. Tommy seterusnya memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
Sehubungan itu, keluarga berkenaan mengarahkan peguam memfailkan notis menarik balik rayuan pada 31 Mei lalu manakala AGC turut mengesahkan menarik balik permohonan kebenaran merayu.
Sementara itu, firma guaman Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib dalam satu kenyataan berkata, anak guamnya menganggap prosiding di mahkamah melibatkan Tommy selesai sepenuhnya.
“Keluarga Allahyarham Muhammad Adib berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, keluarga berkenaan telah menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta daripada kerajaan pada 29 November 2021 sebagai bantuan prihatin atas musibah yang berlaku.
Kenyataan itu turut menegaskan, keputusan untuk menyelesaikan rayuan menghina mahkamah terhadap Tommy tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019.
Mahkamah Koroner ketika itu memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Ujar kenyataan itu, Mahkamah Koroner mengesahkan bahawa Allaharham Muhammad Adib mati dipukul (walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga kini), dan bahawa kematiannya turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan polis mengawal rusuhan.
Kenyataan itu selanjutnya menyatakan, alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Koroner tidak pernah diakas oleh mana-mana mahkamah lebih tinggi, oleh yang demikian ia kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif.
Kenyataan itu menegaskan, pendirian keluarga menarik balik rayuan komital tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh Allahyarham Muhammad Adib tidak boleh diteruskan kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.
“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” ujar kenyataan itu.
Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan, Koroner mempunyai bidang kuasa memulakan prosiding komital terhadap Tommy atas dakwaan menghina mahkamah ekoran afidavit yang difailkan berhubung punca kematian Allahyarham Muhammad Adib.
Mahkamah Rayuan berpendapat, kuasa koroner tidak terhad kepada memulakan prosiding komital di hadapannya (contempt in the face of the court), malah turut melibatkan insiden yang berlaku di luar kamar mahkamah.
Ini bermakna, Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa mendengar dan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mana-mana pihak tidak terhad kepada insiden di hadapan beliau, malah di luar kamar mahkamah. –UTUSAN ONLINE