1MDB: Hukuman Roger Ng di AS diketahui 13 September

1MDB: Hukuman Roger Ng di AS diketahui 13 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hukuman terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang didapati bersalah berhubung penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan ditentukan oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS) pada 13 September ini.

Roger Ng didapati bersalah oleh juri dalam pendengaran kes di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York pada 8 April lalu atas ketiga-tiga pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB.

Bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan dan tertuduh berdepan tempoh pemenjaraan selama 30 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, perbicaraan terhadap Roger Ng telah selesai dan kini menunggu proses menjatuhkan hukuman yang dijadualkan pada 13 September ini.

Sehubungan itu, beliau memohon tarikh sebutan bagi mengetahui perkembangan prosiding di AS agar pihak pendakwaan dapat mengemaskini mahkamah berhubung kes yang dihadapi oleh Roger Ng di sini.

“Untuk makluman, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memohon penyerahan sementara tertuduh (ke negara itu) dilanjutkan sehingga akhir Ogos ini.

“Saya pasti mereka (DoJ) akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara oleh kerana proses hukuman akan berlangsung pada September ini,” ujarnya.

Roger Ng, 48, diekstradisi ke AS pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan yang dikemukakan oleh DoJ berhubung skandal 1MDB.

Tertuduh didakwa membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

Sementara itu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng memaklumkan, anak guamnya telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan juri yang mensabitkannya atas kesalahan itu.

“Keputusan telah dicapai pada 8 April 2022 dan proses hukuman ditetapkan pada 13 September 2022. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan bagi memaklumkan perkembangan kes di sini,” katanya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 19 Oktober bagi sebutan kes.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan kes Roger Ng yang dituduh bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1MDB.

Pada 19 Disember 2018, Roger Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pada 4 September tahun lalu, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai US$$6.5 bilion. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya