KUALA LUMPUR: Naib Presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan AmBank, Salmah Daman Huri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa lebih Pound Sterling £8.7 juta (RM45,837,485.70) telah didepositkan ke satu akaun peribadi Ambank bernombor 2112022011880.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15,805,235.70 merupakan wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun Yayasan 1Malaysia (Y1M). Kesemua wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi tersebut melalui sistem Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas).
Menurut saksi pendakwaan ke-23 itu, berdasarkan slip pemindahan wang, duit melebihi RM45.8 juta itu dipindahkan daripada Vista Equity International Partners melalui Amicorp Bank And Trust Ltd., Barbados yang merupakan ‘ordering bank’ sebelum ia dipindahkan ke Standard Chartered Bank, London, Great Britain sebagai agen bank pembayar kepada Ambank (M) Berhad.
Transaksi-transaksi tersebut berlaku di antara 23 Oktober hingga 18 Disember 2014.
Salmah berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Tiga daripada pertuduhan itu menyatakan Najib didakwa telah menerima wang berjumlah RM42 juta hasil dari aktiviti haram yang dipindahkan mengikut Rentas ke dalam akaun miliknya bernombor 2112022011880 di Amislamic Bank Berhad.
Pada Khamis lalu, saksi sama turut memberitahu AmBank telah menukar lebih AS$710 juta kepada RM2,172,376,853.28 dalam akaun peribadi seorang pelanggan antara 31 Okt 2012 dan 10 April 2013. Akuan tersebut bagaimanapun tidak diperincikan pemilikannya.
Sementara itu, sewaktu disoal balas oleh peguam bela Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah memberitahu ketika transaksi tersebut dilakukan, beliau tidak mengetahui identiti pemilik akaun peribadi tersebut.
“Saya cuma tahu selepas siasatan bermula dan saya juga dipanggil untuk beri keterangan oleh pihak berkuasa,”katanya.
Selain itu, saksi berkenaan juga menyatakan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang amaran mengenai transaksi-transaksi tersebut kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Media sebelum ini melaporkan Ambank telah didenda RM53.7 juta oleh BNM pada 23 November 2015 kegagalan bank berkenaan melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun Najib.
Sewaktu pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam, Suhana menyatakan pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan daripada Najib berhubung transaksi-transaksi yang berlaku membabitkan akaun peribadinya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. –UTUSAN ONLINE