KUALA LUMPUR: Belum sempat mendengar permohonan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk menjadi peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang sepatutnya mendengar permohonan itu semalam telah menarik diri.
Hakim tersebut memutuskan untuk berbuat demikian walaupun tiada sebarang permohonan untuk beliau menarik diri dikemukakan disebabkan salah seorang ahli keluarganya merupakan seorang ahli politik yang aktif dalam UMNO yang juga memegang jawatan sebagai ketua bahagian parti itu di Kuala Terengganu, Terengganu.
“Persepsi awam berhubung kebebasan badan kehakiman tidak boleh diletakkan dalam keadaan yang mencurigakan. Apabila kebebasan badan kehakiman itu hilang, maka anarki akan berkuasa. Kebebasan badan kehakiman perlu dilindungi dalam apa jua cara sekalipun.
“Atas alasan yang dinyatakan dan walaupun tiada sebarang permohonan daripada pihak-pihak terlibat, saya menarik diri daripada mendengar usul pemula ini,” kata Hakim Wan Ahmad Farid pada pengurusan kes itu semalam.
Sebelum dilantik menyertai badan kehakiman, Hakim Wan Ahmad Farid pernah dilantik sebagai bekas senator, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pernah bertanding sebagai calon BN/UMNO dalam Pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009.
Rentetan dengan penarikan diri tersebut, permohonan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguam mewakili Najib dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan telah dipindahkan dan akan didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid pada 6 Julai ini.
Pada prosiding hari ini juga, peguam-peguam mewakili Badan Peguam dan Majlis Peguam memaklumkan Hakim Ahmad Kamal bahawa mereka akan memfailkan bantahan terhadap permohonan Laidlaw itu.
Terdahulu, ketika membaca keputusan ringkasnya itu, Datuk Wan Ahmad Farid memberitahu, sebelum menyertai badan kehakiman, beliau telah meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan bukan lagi ahli parti tersebut.
“Perlu saya nyatakan, selepas mengangkat sumpah untuk menjadi sebahagian daripada badan kehakiman, tugas hakiki saya ialah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Selama ini, pendekatan saya dalam menentukan isu-isu di hadapan saya adalah tertakluk dan terhad dalam ruang lingkup undang-undang. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, sekiranya saya terus mendengar dan kemudian membuat keputusan terhadap permohonan ini, ia tidak akan dilihat sebagai satu keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang tanpa rasa berat sebelah atau kecenderungan pada mana-mana pihak.
“Ini merupakan satu-satunya perkara yang saya perlu elakkan ketika menjalankan tugas-tugas kehakiman saya,” katanya.
Tambah Hakim Wan Ahmad Farid, isu kebebasan kehakiman bukanlah satu perkara `cuba-cuba’ (try and error) sebaliknya kebebasan badan kehakiman itu merupakan satu anugerah kepada masyarakat yang perlu dilindungi.
Pada 1 Jun lalu, Laidlaw melalui notis usul yang difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau diterima masuk sebagai peguam bela Najib dalam rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Mahkamah Persekutuan adalah rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya. –UTUSAN ONLINE