Dua individu palsukan laporan polis, didenda RM1,500 - Utusan Malaysia

Dua individu palsukan laporan polis, didenda RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara membuat laporan polis palsu kononnya disamun, seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak didenda RM1,500 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar  Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lim Zhi Yin, 25, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia telah membuat laporan palsu pada pukul 11.45 pagi, 10 Jun lalu di Balai Polis Serdang dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, ketika prosiding berjalan, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kerana kurang fasih Bahasa Malaysia walaupun telah diberi peluang beberapa kali. 

“Saya minta maaf,” kata Zhi Yin ringkas. 

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis mengatakan dia disamun oleh dua lelaki di sebuah stesen minyak. 

Bagaimanapun, polis mendapati keterangan tertuduh meragukan dan apabila siasatan lanjut dijalankan, kejadian samun itu sebenarnya tidak wujud dan tertuduh mengaku laporan itu adalah palsu.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang kelindan lori, R. Drhaamalingam, 34, turut didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.

Drhaamalingam didakwa membuat laporan polis palsu pada pukul 9 malam, 12 Jun lalu di Balai Polis Kelana Jaya dekat sini.

Mengikut pertuduhan, Drhaarmailingam didapati memberikan maklumat secara bertulis iaitu laporan polis kepada seorang anggota polis berpangkat Korporal bahawa dia disamun ketika ingin ke pasar sedangkan tertuduh mengetahui maklumat tersebut adalah palsu.

Peguam bela, Jasmine Faith yang mewakili Dhaarmalingam ketika mengemukakan rayuan memohon supaya hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh bertindak sedemikian bagi menjimatkan duit setelah kehilangan kad pengenalan.

“Anak guam kehilangan IC (kad pengenalan) beliau dan membuat satu laporan polis. Dia mahu menjimatkan duit tetapi ia telah merugikan dirinya,” kata Jasmine.

Beliau turut memaklumkan tertuduh yang masih bujang dan menanggung bapanya yang menghidap angin ahmar telah insaf dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pelbagai pihak akibat dari perbuatannya.

Timbalan Pendakwaraya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai peringatan keras kepada Drhaarmailingam.

Selepas menjatuhkan hukuman denda tersebut, Zhafran Rahim turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama dua bulan sekiranya denda itu gagal dibayar. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya