KUALA LUMPUR: Remaja sindrom down yang dikenali sebagai Bella, 13, dan lapan lagi individu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi tujuan pengecaman dalam perbicaraan kes yang melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Nor Azizah Mohamad memaklumkan Hakim Izralizam Sanusi, saksi pendakwaan yang pertama, Zurianty Sudin, 39; Yasmin Nahar Mahmood, 19; Suhana Zam, 40, akan melakukan pengecaman ke atas enam kanak-kanak.
Enam kanak-kanak itu ialah Bella, 13, dan lima kanak-kanak lain.
Kesemua kanak-kanak itu merupakan bekas penghuni Rumah Bonda.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE